Ini rahsia pertama yang ingin saya dedahkan iaitu pemimpin yang baik tidak akan mencadangkan diri sendiri untuk memegang sesuatu jawatan. Perkara ini selalu terjadi di universiti mahupun di sekolah. Malah di dalam sektor politik negara pun terjadi perkara sebegini – seorang pemimpin ingin memegang banyak jawatan.

Ada kebaikannya

Mungkin ada yang mempertikaikan perkara ini dengan mengatakan, “Dah kalau orang yang dipilih itu memang tidak layak, lagilah teruk barisan pimpinan.” atau pernah juga saya dengar semasa saya mengikuti satu kem remaja yang majoriti bilangan pesertanya adalah dari golongan bermasalah, ada seorang kawan saya berkata begini, “Kalau tiada sesiapa antara kita yang bangun mencadangkan diri sendiri sebagai pemimpin memang teruklah kem kali ini.”

Memang benar, ada betulnya dan ada kelemahannya. Cuma apabila saya membaca kisah-kisah Nabi Muhammad, rupanya memang ada hikmah sekiranya kita tidak mencadangkan diri sendiri untuk sesuatu jawatan, terutama jawatan sebagai seorang ketua.

Hayati kisah Nabi Muhammad

Seperti entri sebelum ini saya ada menceritakan kisah tentang peristiwa perletakan batu Hajar Aswad. Saya perhatikan di situ, tiada pula Nabi Muhammad mencadangkan dirinya sendiri menjadi ketua untuk mengadili golongan ketua-ketua itu. Malah, Nabi Muhammad juga berasa takut semasa kali pertama didatangi Jibrail.

Kelemahan jika kita selalu mencadangkan diri kita sendiri sebagai ketua bermula dengan perasaan dalaman kita iaitu kita berasa terlalu yakin yang diri kita lebih sempurna daripada orang di sekeliling. Jadi, ini akan menyebabkan kita jarang memikirkan kekurangan diri sendiri.

Jangan rasa diri sendiri lebih baik daripada orang lain

Jika kamu rasa diri kamu pandai, pasti ada orang lain yang lagi pandai daripada kamu. Jika kamu rasakan diri kamu kuat, pasti ada orang lain yang lebih kuat daripada kamu.

Seorang pemimpin yang baik adalah orang yang tidak merasakan dirinya adalah sempurna kerana jika ini terjadi, dia akan kurang yakin akan keberkesanan konsep bekerja secara berkumpulan. Apabila ini berlaku, dia akan berasa semua beban terletak pada dia seorang sahaja menyebabkannya tidak membahagikan tugas kepada orang lain(seperti saya katakan tadi, dia kurang yakin akan keberkesanan bekerja secara berkumpulan). Apabila terlalu banyak kerja… erm.. faham-faham sahajalah, sudah tentu akan ada kerja yang terbengkalai. Kalau tidak terbengkalai pun, kurang kualiti.

Nabi Muhammad adalah seorang yang yakin akan bekerja secara berkumpulan. Jadi, beliau membina teamwork. Eh! Ini sudah masuk rahsia kedua. Jadi, harap sudi meluangkan waktu lagi untuk membaca entri seterusnya.

Satu perkara lagi sebelum saya terlupa, ada kelemahan lain apabila kita berasa diri kita patut jadi ketua. Ini saya sendiri alami semasa berada dalam kem remaja yang majoriti pesertanya adalah remaja bermasalah. Kelemahannya adalah saya berasa diri ini terlalu baik, jadi memandang rendah kepada mereka. Ini membuatkan juga saya kurang bergaul dengan mereka sedangkan itulah yang perlu sebagai seorang pemimpin.

 

p/s: Maaf jika entri kali ini agak tidak tersusun ayat-ayat serta isinya kerana saya menulisnya dengan tergesa-gesa.